Peribahasa

A. Membina ayat daripada peribahasa

1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka dewasa.

B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi   yang diberi

Pak Hassan terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh mangsa itu tidak dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.
i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii. bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii. anak emas (anak kesayangan)
iv. air muka (diri, peribadi)

C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi

Setelah berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai

1. Tok penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama ............(i)............... Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ......(ii)........ Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ............(iii)...........nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.
i. rumah siap pahat berbunyi
ii. mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah

Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

Latihan 1:

1. bagaikan kera mendapat bunga
- orang yang tidak tahu menghargai pemberian orang lain.
Sikap Husna bagaikan kera mendapat bunga kerana dia terus membuang kad tersebut sebaik sahaja diberi oleh Amirul.  
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
- disebabkan seorang membuat keburukan, semua sekali mendapat kesannya.
Disebabkan oleh kes berat yang dilakukan oleh Ali itu, nama sekolah terus tercemar kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit.
3. burung terbang dipipiskan lada
- mengharapkan sesuatu yang belum pasti 
Jangan terlalu berharapkan sangat akan keputusan peperiksaan ini bagai burung terbang dipipiskan lada kerana belum tentu usahanya akan membuahkan hasil.  
4. menegakkan benang yang basah
- cuba menegakkan sesuatu yang tidak benar
"Janganlah kamu cuba menegakkan benang yang basah kerana kita semua sedia maklum bahawa dia yang bersalah dalam soal ini." kata ketua kelas 4 Alamanda.
5. bagaikan telur dihujung tanduk
- dalam keadaan yang sangat bahaya/ kritikal. 
Sejak meminjam wang daripada along tempoh hari, hidupnya seperti telur di hujung tanduk.
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
- orang berilmu yang merendah diri tidak akan hilang ilmunya.
Walaupun pandai Hashif sentiasa merendah diri kerana ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
- mendapat keuntungan yang lumayan secara tiba-tiba.
Hidup Iffah bagaikan tikus jatuh di kepuk sejak berkahwin dengan Aiman anak kepada pemilik syarikat perniagaan yang terkenal itu. 
8. matinya semut kerana gula
- mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda.
 Akmal hidup melarat setelah kalah dengan teruk dalam aktiviti perjudian kerana matinya semut kerana gula.
9. air dicincang tidak akan putus
-  hubungan adik beradik yang bergaduh pasti akan baik juga akhirnya
Pergaduhan abang dan kakak tidak berpanjangan kerana air dicincang tidak akan putus.
10. bagaikan embun dihujung rumput
-  kasih sayang yang tidak berkekalan
Hubungan Kim dan Pang bagaikan embun dihujung rumput kerana baru sahaja 6 bulan mendirikan perkahwinan, mereka sudah berubah arah.

Latihan 2:

1. seperti mendukung biawak hidup
 - melakukan pekerjaan yang sukar dan berbahaya
Tindakan kamu menyertai kongsi gelap itu seperti mendukung biawak hidup.
2. sudah jatuh ditimpa tangga
- menerima kesusahan yang berterusan
Selepas kehilangan anaknya tempoh hari, hidupnya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga kerana rumahnya pula dipecah masuk kelmarin.
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
- mengutamakan orang lain berbanding keluarga sendiri.
Sikap Abu memberikan tanah pusaka kepada adik angkatnya bagaikan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan kerana keluarga kandungnya sendiri sedang hidup dalam kedaifan.
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
- dalam keadaan serba salah
Dia bagai ditelan mati emak, dibuang mati bapak kerana tidak tahu ingin mengikuti ayahnya atau ibunya setelah mereka bercerai.
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
- buat baik atas sebab yang tersembunyi
Saya tahu, dia berbuat baik untuk memikat Ryan kerana kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
- orang tamak akan rugi
Tamak akan harta dan darjat akan sentiasa membawa padah bagaikan anjing dan bayang-bayang.
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
- sudah tahu keadaan sebenar walaupun hanya melihat kepada luaran
Tuan rumah di hujung kampung itu sudah tahu kehendak kanak-kanak yang datang ke rumahnya kerana sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina. 
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
- membuat kerja bersungguh-sungguh hingga membuahkan hasil
Belajarlah dengan tekun hingga berjaya umpama genggam bara api biar sampai menjadi arang.
9. bagai mencurah air ke daun keladi
- melakukan sesuatu yang sia-sia
Usahanya menasihati gadis itu bagai mencurah air ke daun keladi kerana akhirnya gadis itu mengambil keputusan untuk membunuh diri.
10. kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak
- kesalahan orang yang sedikit kita nampak, kesalahan kita yang besar kita tidak nampak
Mak Jemah ibarat kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak kerana dia sibuk menyalahkan orang lain sedangkan anaknya sendirilah punca bencana tersebut.

Latihan 3:

1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
- di mana ada punca rezeki, di situlah ramai orang berkumpul
Di tempat menjual loteri itu terlalu ramai orang berkumpul bagaikan lalat mengharung najis/ tahi.
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
- sesuatu yang bertambah dengan sangat banyak
Sejak Putrajaya dimajukan, kawasan petempatan di Bangi semakin maju bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
 - usaha gigih yang berterusan 
Negara yang kecil boleh maju kerana sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain.
4. seperti pelanduk dua serupa
- mempunyai wajah yang serupa
Sukar untuk membezakan pasangan kembar Afeena dan Aneena kerana  mereka seperti pelanduk dua serupa
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
- mendidik anak biarlah sejak kecil  
Ingin mengajar anak bertutur banyak bahasa hendaklah bermula dari usia kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
6. seperti ular kena palu
- barisan yang bengkang-bengkok
Barisan pelajar tahun 1 itu seperti ular kena palu sebelum ditegur guru kelas untuk membetulkan barisan. 
7. mati semut kerana gula
- mendapat kesusahan kerana tamak akan harta benda. 
Akmal hidup melarat setelah kalah dengan teruk dalam aktiviti perjudian kerana matinya semut kerana gula.
8. bagai mendapat durian runtuh
- mendapat keuntungan dengan banyak
Pada minggu lepas, Nazri bagai mendapat durian runtuh apabila peniaga itu menghadiahkan beliau sebuah kereta baru
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
- dua orang yang bergaul rapat tetapi mempunyai cita-cita yang berbeza.
Walaupun Oh dan Kit sangat rapat, tetapi mereka mempunyai minat yang berbeza umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
- mendengar sesuatu keuntungan yang belum pasti, apa yang telah diperoleh dibuang/ ditinggalkan. 
Kakak seperti mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan kerana dia menjual butiknya apabila mendengar khabar angin sebuah syarikat ingin memberi jawatan tinggi kepadanya.

Latihan 4:

Beri peribahasa yang sesuai dengan ayat yang dinyatakan tersebut.

1. Kata-kata dan janji manis yang diberi oleh calon yang bertanding dalam pilihanraya itu tidak disukai oleh penduduk di kawasan itu kerana janji yang ditabur tersebut mempunyai maksud yang tertentu.
- bagai menanam tebu di tepi bibir 
2. Selepas pertandingan memilih calon wakil rakyat itu berakhir, semua pihak yang bermusuhan telah berbaik-baik semula seperti sediakala.
- biduk berlalu kiambang bertaut
3. Walaupun sudah sepuluh tahun berhijrah ke luar negara untuk mencari rezeki, namun kehidupan Encik Izkram masih juga susah apabila dia pulang ke kampung halamannya.
- hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri/ bagai itik pulang petang
4. Walaupun berbadan besar dan kelihatan garang namun sebenarnya En. Mohd. Ramsul seorang guru yang baik hati, lemah lembut, dan penyayang.
-  jangan menilai buku dari kulitnya
5. Walaupun keluarga Encik Mohd. Salam cuba menyembunyikan kisah anaknya terlibat dalam rasuah, namun akhirnya rahsia tersebut tersebar juga kepada orang ramai.
- ibarat kutu boleh diselisik/ mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia tak dapat ditutup.
6. Hanya Husaini sahaja yang nakal di kelas itu tetapi semua pelajar di sekolah itu menganggap pelajar kelas tersebut sebagai kelas pelajar-pelajar nakal.
- kerana nila setitik, rosak susu sebelanga
7. Walaupun asalnya Saidiyah seorang pelajar yang lembam namun setelah diajar dengan bersungguh-sungguh oleh guru-gurunya, akhirnya dia berjaya dalam peperiksaan itu dengan cemerlang.
- belakang parang kalau diasah lagikan tajam
8. Farislullah seorang pelajar yang tidak tahu bermain badminton tetapi cuba mengambil bahagian dalam pertandingan badminton peringkat Daerah Perak Tengah.
- kalau kail panjang sejengkal/ lautan dalam usah diduga 
9. Setelah merantau di India lebih tujuh tahun, akhirnya Faleh pulang dan menetap semula di kampungnya yang terletak di Negeri Sembilan.
- bagai ikan pulang ke lubuk
10. Perbuatan Syaidiyah menasihati kekasihnya yang bernama Farislullah supaya berhenti merokok sia-sia sahaja kerana tidak diendahkan sama sekali oleh kekasihnya itu.
- bagai mencurah air ke daun keladi 

Comments

Popular posts from this blog

120 Soalan Latihan Pola Ayat

Jawapan Soalan Peribahasa Tingkatan 5