Latihan Cakap Pindah Cakap Ajuk

Tulis semula perbualan di bawah ke dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.

“ Bagaimana dengan rancangan awak ? “ tanya Salleh.

“ Rancangan apa? “ jawab Ani.

“ Rancangan mendaki gunung yang awak kata pada saya tempoh hari, “ kata Salleh.

“ Oh, itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Sabtu depan. “ jelas Ani.

“ Bagus Ani, bagus. Saya sokong rancangan itu ! “

Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata sahabat karibnya itu.


Salleh bertanya tentang rancangan Ani tetapi Ani meminta penerangan daripada Salleh tentang rancangan tersebut. Salleh kemudiannya menerangkan rancangan yang dimaksudkannya iaitu rancangan mendaki gunung yang pernah diberitahu oleh Ani dahulu. Ani menjelaskan bahawa rancangan tersebut akan dibincangkan pada hari Sabtu hadapan. Salleh memuji dan menyatakan bahawa dia menyokong rancangan itu membuatkan Ani tersenyum puas apabila mendengar kata-kata Salleh iaitu sahabat karibnya.

Latihan 2:

 

“Ani tak ada sapa-sapa. Ani sorang.......”

“Ani tak boleh tinggal sini.Di sini bahaya,” kata Tuk Yahya sambil meneliti mata belolok anak itu.

“Ani tak ada sapa-sapa,” rengek Ani lagi.

“Ya, Tuk Yahya tahu.........”

“Ani tak mahu tinggal di rumah lagi.Nanti bom jatuh lagi. Datuk tak ada, datuk tak ada”,jelas anak itu hampir meraung.

“Ani ada Tuk Yahya, Ani ada comot,” pujuk Tuk Yahya.


Ani menyatakan bahawa dia tidak mempunyai sesiapa dan dia keseorangan. Tuk Yahya mengatakan bahawa Ani tidak boleh tinggal disitu kerana bahaya sambil meneliti mata belolok anak itu. Ani merengek, mengulang bahawa dia tidak mempunyai sesiapa. Tuk Yahya mengiakan kenyataan Ani, tetapi Ani hampir meraung menjelaskan bahawa dia tidak mahu tinggal di rumah lagi kerana takut seandainya bom jatuh semula. Tambahan pula, datuk Ani telah meninggal dunia. Tuk Yahya memujuk Ani dengan memberitahu Ani bahawa Ani masih mempunyai Tuk Yahya dan Comot.

Latihan 3:

 

“Salim, mengapakah awak kelihatan muram sahaja?” tanya Nizam.

“Pagi tadi, Cikgu Khairul bertanyakan saya tentang yuran peperiksaan yang masih belum saya bayar,” beritahu Salim dengan perasaan sayu.

“Eh, bukankah awak mendapat biasiswa! Mengapakah kamu tidak gunakan duit tersebut untuk

membayar yuran?” tanya Nizam dengan perasaan hairan.

“Duit biasiswa itu telah saya gunakan untuk perbelanjaan rawatan abang saya yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini,” jelas Salim.

“Oh begitu! Salim, saya cadangkan awak berjumpa dengan Cikgu Khairul dan jelaskan perkara yang sebenarnya,” kata Nizam.

“Tapi, saya takutlah Nizam. Cikgu Khairul tu garang sangat,” kata Salim......[ 6 markah ]


 Nizam bertanya kepada Salim tentang Salim yang kelihatan muram. Salim dengan perasaan sayu memberitahu Nizam bahawa Cikgu Khairul bertanya tentang yuran peperiksaan yang masih belum dibayar. Nizam terkejut dan hairan kerana Salim mempunyai biasiswa tetapi duit biasiswa itu tidak digunakan untuk membayar yuran. Salim menjelaskan bahawa duit biasiswa itu telah digunakan untuk perbelanjaan rawatan abangnya yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini. Nizam mencadangkan Salim berjumpa dengan Cikgu Khairul dan jelaskan perkara yang sebenarnya. Tetapi, Salim enggan dan takut untuk berjumpa Cikgu Khairul kerana Salim mengatakan bahawa beliau merupakan seorang guru yang amat garang.

Latihan 4:

 

MAWI : Wah, sedap betul mi ini. Apa namanya ?

FELIX : Mi Pedas.

MAWI : Yalah ,minya pedas.Memang pedas......... tapi apa namanya ?

FELIX : Mi pedas. Si Dolah tu kata namanya Mi Pedas.

MAWI : Oh begitu, jadi kau masuk ke kedai ini sengaja nak makan Mi Pedaslah?

FELIX : Yalah. Kan aku dah janji nak beanja kau dulu. Inilah dia.


Mawi kagum dengan keenakan mi itu lalu bertanya akan nama mi tersebut kepada Felix. Felix memberitahu Mawi bahawa nama mi itu adalah Mi Pedas. Mawi mengatakan dia tahu bahawa mi itu pedas dan bertanya sekali lagi akan nama mi tersebut. Felix menjawab bahawa nama mi yang pedas itu ialah Mi Pedas menurut Si Dolah. Mawi akhirnya memahami jawapan Felix lalu bertanya kepada Felix tentang tujuan sebenarnya masuk ke kedai itu semata-mata untuk makan Mi Pedas sahaja. Felix mengiakan dan menyatakan bahawa Mi Pedas ini adalah untuk mengotakan janjinya untuk membelanja Mawi makan suatu masa dahulu. 

Latihan 5:

 

Norhayati ......: Syikin, mengapa Syikin tidak datang ke sekolah semalam?

Norasyikin.... : Syikin minta maaflah. Semalam Syikin ada hal di rumah.

Norhayati ......: Apa halnya? Ceritakanlah kepada Yati. Andainya susah, sama-samalah kita

                         tanggung. Bukankah kita sudah lama berkawan?

Norsyikin ......: Sebenarnya ibu Syikin sakit.


Norhayati bertanya kepada Norasyikin tentang sebab dia tidak datang ke sekolah semalam. Syikin meminta maaf lalu menjelaskan bahawa semalam dia mempunyai hal di rumah. Norhayati bertanya tentang hal tersebut dan meminta Syikin menceritakan perkara yang berlaku kepadanya. Norhayati menyatakan bahawa mereka akan bersama-sama menanggung kesusahan kerana mereka sudah lama berkawan. Akhirnya, Syikin menjawab bahawa ibunya sakit.

Tulis semula petikan di bawah dalam bentuk cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.

Latihan 1:

 

Kamariah berkata kepada Aziz dan Samad bahawa negara Malaysia memang banyak mempunyai tempat menarik untuk dikunjungi. Pendapatnya itu disokong oleh samad dengan mengatakan bahawa negara ini mempunyai pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang indah. Aziz pula menyatakan kehairanannya tentang ramai orang Malaysia yang masih suka melancong ke luar negara seperti ke Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah. Kamariah menyetujui pandangan itu. Samad berpendapat mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negeri. Aziz bersetuju dengan pendangan Samad itu. Kamariah pula mencadangkan supaya pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan memberi potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka. Samad pula mengatakan bahawa di samping itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah   melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri. Kamariah dan Samad mengiakan pendapat itu.


"Negara Malaysia memang banyak tempat menarik untuk dikunjungi." kata Kamariah kepada Aziz dan Samad.
"Betul itu. Negara ini ada pantai-pantai yang bersih dan hutan semula jadi yang indah." sokong Samad.
"Tetapi, ramai orang Malaysia yang masih suka melancong ke luar negara seperti ke Indonesia, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah." tanya Aziz kehairanan sambil disetujui Kamariah.
"Pada pendapat saya,  mungkin keadaan ini berlaku kerana kurangnya promosi untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negeri." jelas Samad.
Aziz mengangguk tanda setuju.
"Pihak swasta seperti pusat-pusat pelancongan tempatan haruslah memberi potongan harga istimewa kepada pelancong tempatan yang mengunjungi pusat percutian mereka." cadang Kamariah.
"Di samping itu, kesedaran rakyat Malaysia tentang faedah melancong di dalam negeri perlu ditanam dalam diri." sambung Samad.
"Ya, betul itu." jawab Kamariah dan Samad.


Latihan 2:

 

Mak Limah bertanya arah tujuan suaminya setelah melihat suaminya itu dalam keadaan tergesa-gesa hendak keluar. Pak Usop mengatakan bahawa dia hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju. Mak Limah mencadangkan agar suaminya makan nasi dahulu walaupun sibuk dengan kerja kerana dia takut suaminya akan berasa lapar . Pak Usop memberitahu ii itsterinya bahawa dia hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu. Mak Limah bertanya cara suaminya hendak mendapatkan pekerjaan sekiranya dia berhenti kerja. Pak Usop menjelaskan bahawa dia hendak memohon pinjaman daripada pihak MARA untuk membeli sebuah bas.


Mak Limah : Abang tergesa-gesa mahu keluar ke mana?
Pak Usop : Abang hendak berjumpa dengan ahli-ahli jawatankuasa Koperasi Maju.
Mak Limah : Walaupun sibuk dengan kerja, makanlah nasi dahulu, takut nanti kelaparan.
Pak Usop : Abang hendak meletakkan jawatan sebagai pemandu bas koperasi itu.
Mak Limah : Letak jawatan? Selepas berhenti kerja, bagaimana abang mahu mendapatkan kerja lain?
Pak Usop : Abang hendak memohon pinjaman daripada pihak MARA untuk membeli sebuah bas.

Comments

Popular posts from this blog

120 Soalan Latihan Pola Ayat

Peribahasa

Jawapan Soalan Peribahasa Tingkatan 5